Tamadun keyunanian
Tamadun keyunanian

Tamadun keyunanian

Tamadun keyunanian, iaitu tamadun Yunani di luar wilayah Yunani klasik, melambangkan kemuncak pengaruh Yunani di dunia purba mulai 323 SM hingga sekitar 146 SM (atau selewat-lewatnya 30 SM). Tamadun keyunanian didahului oleh zaman Yunani Klasik, dan diikuti oleh penguasaan Rom ke atas bekas taklukan Yunani, sungguhpun kebanyakan unsur kebudayaan, keagamaan, kesenian dan kesusasteraan Yunani masih meresapi pemerintahan Rom yang golongan elitnya fasih berbahasa Yunani dan Latin. Penyebaran kebudayaan keyunanian dicetuskan oleh usaha penaklukan oleh Alexander Agung. Setelah baginda menawan Empayar Parsi, kerajaan-kerajaan keyunanian ditubuhkan di seluruh Asia Barat Daya (yakni 'Timur Dekat' dan 'Timur Tengah') serta Afrika Timur Laut (Mesir purba dan Cyrene di Libya purba). Kesannya merupakan kedatangan kebudayaan, bahasa dan golongan kolonis Yunani ke dalam wilayah-wilayah baru ini. Walaupun demikian, kerajaan-kerajaan baru ini juga menerima pengaruh kebudayaan tempatan yang sama kuatnya, dengan menerima amalan-amalan setempat yang berfaedah, perlu ataupun memudahkan.Oleh itu, tamadun keyunanian melambangkan gabungan dunia Yunani Purba dengan Asia Barat Daya, serta berakhirnya pandangan masyarakat Yunani yang serong terhadap kebudayaan "orang gasar". Sejauh mana bangkitnya kebudayaan campuran Yunani-Asia yang sebenar masih dalam pertikaian; ijmak kini cenderung ke arah penerimaan budaya yang pragmatik oleh golongan atasan, padahal bagi orang keramaian, kehidupan tidak banyak berubah seperti sebelumnya.[1]Zaman keyunanian ini bercirikan gelombang baru penjajahan Yunani[2] (yang berbeza dengan yang berlaku pada abad ke-8 hingga ke-6 SM) yang menubuhkan kota-kota dan kerajaan-kerajaan Yunani di Asia dan Afrika.[3] Kota-kota baru ini terdiri daripada para penjajah Yunani yang datang dari pelbagai tempat dalam wilayah Yunani, dan bukannya dari sesebuah "ibu kota" seperti dahulu.[3] Pusat-pusat kebudayaan utama meluas dari tanah besar Yunani ke Pergamon, Rhodes, serta koloni-koloni Yunani yang baru seperti Seleucia, Antioch dan Alexandria. Campuran masyarakat berbahasa Yunani ini melahirkan satu bahasa perantaraan yang berasaskan loghat Attika, iaitu bahasa Yunani Keyunanian yang menjadi lingua franca di seluruh dunia keyunanian.